Followers

Oct 15, 2011

PM LANCAR UNDIAN UNTUK PROGRAM KEDIAMAN MAMPU MILIK PR1MA

KUALA LUMPUR, 15 Okt 2011 (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini melancarkan eksesais pengundian pertama Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kompleks Kejiranan, Precinct 11, Putrajaya.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, PR1MA berkata, sejumlah 560 unit rumah mampu milik telah mencatatkan lebihan langganan 13 kali dengan lebih 7,000 permohonan diterima, yang mana 84 peratus ialah pembeli rumah kali pertama.

"Di bawah fasa pertama PR1MA, rumah-rumah ini ialah untuk mereka yang tinggal atau bekerja di Putrajaya," katanya.

"Berikutan kejayaan peruntukan pertama hari ini, kita akan menyediakan lebih banyak lagi rumah sedemikian dalam bulan-bulan akan datang," kata Najib.

Beliau berkata seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2012, kerajaan berhasrat memajukan kawasan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh.

"Selain itu, kita juga akan mengenalpasti kawasan-kawasan lain yang hampir dengan transit aliran massa, transit aliran ringan dan sistem pengangkutan awam yang lain untuk meringankan saling hubung," kata beliau.

PR1MA berkata pemohon yang berjaya akan dimaklumkan menerusi emel dan dikehendaki menyediakan semua dokumen yang diperlukan untuk pengesahan dijalankan.

Fasa pertama PR1MA dimajukan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

Pembangunan itu terdiri daripada 420 unit dengan keluasan binaan 815 kaki persegi berharga RM120,000 dan 140 unit berkeluasan 1,006 kaki persegi pada harga RM150,000.

PR1MA ialah program kerajaan untuk menggalakkan lagi pemilikan rumah terutamanya di kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dengan menyediakan hartanah kediaman mampu milik di bandar-bandar utama negara.
SUMBER : BERNAMA

1 princes N princess Yg Sweet:

Post a Comment

tq 4ur comments~